Jawharijatimiddleinformationquality assurancecataloguelocationcontacts
head

Bagaimana Memilih Perabot Jati

Seperti kayu-kayu lain yang lazimnya digunakan sebagai perabot, kayu jati juga mempunyai gred dan kualiti tertentu. Terdapat pelbagai istilah digunakan dalam mengkategorikan kelas kayu.

Di Malaysia lazimnya menggunakan istilah gred A,B atau gred C. Kalau di tempat asal industri kayu jati terbesar di dunia iaitu Di Jepara, Jawa Tengah, gred kayu di kelaskan kepada a) Kayu Kampung b) Kayu Tipika/Perhutani.

Kayu Kampung merupakan kayu dari pohon-pohon yang ditanam atau tumbuh liar yang tidak dikawal selia oleh penguasa perhutanan. Pohon yang dikelaskan sebagai kayu kampung tidak menjalani prosedur tertentu sebelum layak ditebang dan digunakan sebagai perabot.
Kayu tipika/perhutani merupakan kayu dari pohon-pohon yang ditanam atau tumbuh liar yang dikawal dan dirawat oleh penguasa perhutanan. Pohon dari kelas ini harus menjalani proses dan memenuhi syarat tertentu sebelum ditebang. Kayu dari kelas tipika berkualiti tinggi kerana ia perlu melepasi syarat umur tertentu sebelum mendapat kebenaran penebangan. Kayu tipika dikeringkan sebelum ditebang iaitu ia akan disuntik bahan kimia supaya mati dan dibiar kering selama sekurang-kurangnya satu tahun sebelum ditebang dan digunakan sebagai perabot.
Kedua-dua kategori kayu kampung dan kayu tipika akan dibahagikan mengikut kelas nombor 1-3. Sebagai panduan untuk mudah difahami, kami mengkelaskan kayu kampung sebagai Gred B (B1,B2,B3) dan kayu tipika sebagai Gred A (A1,A2,A3). Terdapat juga kayu yang dikelaskan sebagai Gred C, namun kayu dalam gred ini tidak berkualiti dan jarang di jual di galeri perabot kami. Untuk mengenali kayu bergred A,B atau C, cara termudah ialah dengan meneliti semasa kayunya masih belum di warnakan/varnish. Selain itu anda perlu berkemahiran dalam meneliti urat kayu yang terbaik. Kebanyakan pengedar perabot jati di Malaysia menjual perabot dari Gred B memandangkan kayu dari Gred A sangat mahal. Namun ada juga yang mencampurkan perabot Gred B dan Gred C yang berkualiti rendah. Di Jawhari Furniture, kami hanya menjual perabot dari kualiti Gred B1-B3 dan sedikit dari Gred A3. Terdapat juga pelanggan yang membuat pilihan untuk perabot dari Gred A2 dan A1.

Sebagai panduan yang mudah, kami menyenaraikan beberapa tip-tip untuk memilih perabot dari kayu jati supaya pelanggan kami berpuas hati dengan kualiti setiap barangan yang dibeli.

  1. Periksa permukaan dan celah-celah ukiran perabot.
    Perabot yang berkualiti mempunyai permukaan yang halus termasuk dicelah rongga ukiran atau jejari perabot. Lazimnya bahagian bawah atau dasar perabot memang tidak di haluskan dan dibiarkan kasar. Secara am, perabot dari kayu berkualiti rendah agak sukar di haluskan terutama di celah rongga ukiran.
  2. Perhatikan corak urat kayu.
    Urat kayu yang berkualiti adalah lebih lurus dan halus. Istilah yang sering digunakan di Indonesia ialah kayunya kelihatan ‘mulus’. Lebih halus dan lurus urat kayu, maka ia lebih berkualiti. Kayu berkualiti berbelang-belang dan keseluruhan permukaan mempunyai warna sekata. Kayu yang berkualiti rendah kelihatan berbelang-belang, terdapat bahagian yang kelihatan agak putih dan ada yang lebih gelap. Untuk panduan, kayu yang kelihatan putih merupakan kayu yang agak lembut dari bahagian paling hampir dengan kulit kayu. Kayu yang berwarna putih juga lazimnya dari kayu yang muda dan tidak tahan lama.
  3. Perhatikan warna kayu
    Lazimnya, agak sukar untuk menentukan kualiti dengan memerhatikan warna kayu kerana ia telah diwarnakan dengan varnish. Secara am, kayu yang berwarna coklat tua lebih baik berbanding dengan kayu yang berwarna agak muda. Namun, atas pelbagai teknik pewarnaan kayu, agak sukar menentukan kualiti dengan melihat perabot yang sudah siap. Cara terbaik ialah dengan memerhatikan warna kayu sebelum ia diwarnakan/varnish. Oleh yang demikian, usah tertipu dengan teknik jurujual yang mengatakan perabot yang berwarna gelap lebih berkualiti. Ini kerana anda perlu memerhatikan warna asli kayu sebelum divarnish.
  4. Perhatikan ‘mata kayu’
    Dari urat-urat kayu, cuba perhatikan bahagian mata kayu. Mata kayu ialah bahagian pohon yang mengeluarkan dahan. Ia kelihatan seperti pusaran kecil. Kebiasaannya mata kayu berlubang secara semulajadi. Tetapi tukang kayu mempunyai pelbagai teknik untuk menutup bahagian lubang mata kayu. Oleh yang demikian, perhatikan kemasan di bahagian mata kayu supaya ia tidak merekah pada masa akan datang. Sebaik-baiknya, pilih perabot yang tidak mempunyai mata kayu.
  5. Perhatikan kemasan perabot
    Perabot dari kayu yang berkualiti lazimnya kelihatan cantik dan kemas. Teknik sambungan kayu yang teliti dan kuat. Oleh kerana perabot dari kayu jati dibuat keseluruhannya dengan tangan, maka biasanya terdapat sedikit kecacatan yang minima. Oleh yang demikian, pilih perabot yang paling kurang kadar kecacatan. Terdapat perabot yang sempurna 100%, lazimnya ia sangat mahal dan dibuat dari kayu berkualiti Gred A.
  6. Pilih perabot dari kayu yang kering
    Peratusan kandungan air dalam kayu merupakan perkara terpenting dalam menentukan kualiti perabot. Kayu mempunyai sifat semulajadi iaitu akan mengecut apabila ia semakin kering. Oleh yang demikian, kebanyakan kayu akan pecah, merekah atau melengkung apabila ia mengering dan mengecut. Untuk memastikan kayu yang kering, anda harus memilih perabot yang telah menjalani proses pengeringan yang sistematik. Selain pengeringan semulajadi dengan teknik jemuran, kini terdapat teknologi baru dengan menggunakan teknik giant oven di mana kayu akan dipanaskan di dalam oven selama 3 hari supaya ia cukup kering dan berkualiti.
  7. Pilih perabot yang diberi jaminan
    Jaminan memberikan anda ketenangan dalam melaburkan simpanan anda untuk memiliki perabot. Perlu diingat, semua perabot jati mempunyai risiko rosak walau pun anda membeli perabot dari kayu yang berkualiti paling tinggi. Ia adalah sifat semulajadi kayu yang mungkin boleh pecah, patah atau merekah. Oleh yang demikian, jaminan dari pengedar adalah amat penting untuk memastikan anda membeli barangan yang betul.
  8. Perhatikan struktur perabot
    Perabot dari kayu jati lazimnya kuat dan mempunyai struktur yang kukuh. Namun atas pelbagai perubahan rekabentuk, terdapat perabot yang mempunyai struktur yang agak lemah terutama kerusi makan. Oleh yang demikian, anda perlu memerhatikan struktur perabot sebelum anda membelinya.